mutakhir

Tiada alasan konkrit usir Dr Zakir Naik

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

GESAAN segelintir pihak termasuk beberapa menteri kabinet supaya pendakwah bebas, Dr Zakir Naik diusir dari negara ini perlu disertakan dengan hujah konkrit.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia penting bagi memastikan sebarang keputusan dibuat tidak menafikan aspek keadilan buat pendakwah itu.

Mengakui beliau sendiri kurang jelas apakah asas fakta membuatkan beberapa pihak membuat gesaan mengusir Dr Zakir dari Malaysia, Ahmad Samsuri menghormati arahan pihak berkuasa tidak membenarkan Dr Zakir memberi ceramah dalam semua medium, termasuk media sosial.

“Saya tidak faham apa sebab pihak berkenaan mengeluarkan saranan berkenaan (usir Dr Zakir). Saya rasa mereka yang memberi cadangan itu harus memberi jawapan dan hujah yang konkrit.

“Tambahan pula, mereka adalah kelompok individu yang perlu sentiasa tampil dengan hujah dan fakta seperti dalam Parlimen, apatah lagi di luar, perlu ada hujah dan fakta yang jelas. Tetapi sekarang ini, saya tidak jelas sebab apa (mahu usir Dr Zakir).

“Bagi saya, pihak yang memberi tekanan kepada Dr Zakir, mereka juga harus objektif dalam cara mereka memberikan tekanan supaya berlaku adil kepada pendakwah itu.

“Umpamanya melihat konteks ucapan Dr Zakir dalam konteks sebenar dan apakah soalan diajukan kepadanya dan bagaimana beliau memberi reaksi terhadap soalan dikemukakan,” katanya.

Justeru katanya, asas itu perlu diambil kira supaya satu pertimbangan adil dan jujur dapat diambil terhadap penceramah kelahiran India itu.

“Kalau asas dakwaan dibuat terhadapnya hanya berasaskan apa yang dipetik sedikit di sini dan sedikit di sini, saya rasa macam-macam perkara boleh berlaku dalam masyarakat kita,” katanya.

Ahmad Samsuri berkata, sudah tiba masanya budaya mengemukakan pandangan yang disertakan hujah dan fakta diamalkan dalam masyarakat negara ini dalam pelbagai isu, bagi mengelak salah faham politik dan hubungan kaum.

Katanya, kerajaan negeri mengalu-alukan kedatangan Dr Zakir di negara ini tetapi menghormati dan akur dengan arahan pihak berkuasa dengan mengambil kira suasana semasa bagi mengelak timbul polemik baharu.

“Jadi siasatan sedang berjalan dan biarkan proses itu mengambil jalannya. Setakat ini pun kerajaan negeri tiada sebarang perancangan mengadakan program bersama Dr Zakir dan sekiranya ada pihak mahu berbuat demikian, mereka perlu mendapatkan pandangan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Buku Menteri Besar Terengganu ‘Melunas Sumpah, Menunai Janji’ di Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A Rahman Yahya; bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman serta waris bekas Menteri Besar lain.

Terdahulu, buku 300 muka surat berharga RM250 memaparkan jasa dan sumbangan tokoh menteri besar berkenaan dan diharap mampu menjadi catatan sejarah buat generasi akan datang bagi menghargai pemimpin yang membangunkan Terengganu.

Disiarkan pada: August 21, 2019 @ 8:19pm
d