mutakhir

Anwar boleh melawat Lynas bila-bila masa [METROTV]

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta melakukan lawatan ke kilang nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) di Gebeng, Kuantan bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai pengoperasian syarikat itu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Wan Saiful Wan Jan berkata, mana-mana pemimpin parti komponen Pakatan Harapan (PH) juga boleh berbuat demikian bagi memperoleh maklumat dan fakta tepat.

“Ya saya rasa semua dalam kerajaan PH boleh beri pandangan masing-masing. Daripada terus berpolemik adalah baik kita memenuhi jemputan Lynas dan melawat sendiri operasi kilang ini.

“Di situ fakta dan maklumat lebih jelas boleh diperoleh. Kena turun di lapangan dan dengar komen diberikan. Dalam suasana politik Malaysia Baru ini kita berpolitik berteraskan ilmu, fakta dan maklumat lengkap,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke kilang Lynas di Gebeng selama lapan jam selain turut mendengar taklimat dikendalikan pengurusan syarikat berpangkalan di Australia bermula pada 9 pagi, hari ini.

Semalam, Anwar memaklumkan kerajaan wajar mengkaji semula keputusannya berhubung pembaharuan lesen Lynas dan melakukan rundingan semula mengenai syarat ditetapkan.

Sementara itu, mengulas mengenai hasil lawatan dilakukan bersama kepemimpinan tertinggi BERSATU, Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) dan Srikandi BERSATU, Wan Saiful berkata pihaknya sudah mendapat gambaran sebenar mengenai operasi Lynas yang sering diperdebatkan.

“Kita lihat Lynas mempunyai potensi sangat besar kepada ekonomi negara dari sudut pelaburan yang boleh membawa pulangan lumayan kepada negara.

“Apa yang diperkatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini kita sokong kerana Lynas disifatkan industri nadir bumi yang akan menjadi ‘Game Changer’ terhadap ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata, tidak timbul soal radiasi berbahaya dibebaskan syarikat itu kerana ia sudah disahkan pakar dan penyelidik yang mengatakan Lynas beroperasi secara selamat dan tidak membahayakan masyarakat.

Disiarkan pada: August 21, 2019 @ 9:22pm
d