mutakhir

'Tempah' 260 roti canai, larikan RM35,000

Oleh Rosli Ilham

“SAYA rasa seolah-olah dipukau kerana tidak sedar bagaimana seorang daripada dua lelaki itu masuk ke dalam bilik,” kata pengusaha kedai makan, Miss Lizan Saleh yang kerugian RM35,000 selepas barang kemas dan wang tunai miliknya lesap.

Miss Lizan, 35, berkata dua lelaki berusia 40-an yang menaiki kereta Proton Waja datang ke kedainya di Kampung Baru Kerteh, Chukai pada 1 tengah hari semalam untuk menempah 180 roti canai kosong dan 80 roti telur.

“Ketika itu, saya sudah tutup kedai manakala tiga pekerja pulang ke rumah, namun lelaki terbabit meminta saya membuat bil kerana mahu membayar harga roti canai bernilai RM300 sementara rakannya berdiri di depan kedai.

“Dia berdiri rapat di sisi saya ketika saya menulis bil di kaunter dipercayai untuk menghalang pandangan sebelum seorang daripada mereka masuk ke dalam bilik.

“Lelaki terbabit bertegas mahu menjelaskan bayaran itu dengan segera dan meminta saya menulis bil walaupun saya memintanya membayar ketika mengambil tempahan itu hari ini, selain dia beberapa kali menukar jumlah tempahan,” katanya.

Miss Lizan berkata, sebaik selesai menulis bil, mereka tidak mengambil bil itu, sebaliknya meminta izin mahu ke bank untuk mengambil duit.

“Saya tinggal bil itu di kaunter kedai kerana menyangka mereka akan datang semula sebelum masuk ke dalam bilik untuk mengambil beg tangan dan pulang ke rumah.

“Saya hanya sedar wang tunai RM3,700 serta empat gelang tangan dan satu rantai bernilai RM32,000 hilang membabitkan kerugian RM35,000 ketika membuka beg untuk mengisi minyak di sebuah stesen minyak,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kerteh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Pemangku Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana curi dalam bangunan.

Disiarkan pada: August 21, 2019 @ 11:27pm
d