mutakhir

Hang nak lari mana...

Oleh Shamsul Munir Safini

DUA lelaki yang aktif mencuri kabel di premis terbengkalai berjaya dikesan sebelum diberkas polis di dua lokasi berasingan di Perda dan Prai semalam.

Dua lelaki berusia 31 dan 40 tahun itu diburu polis sejurus memecah masuk sebuah kilang motosikal di Kompleks Industri Prai Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan berkata, dalam kejadian itu, pengawal keselamatan sebuah kilang menyedari beberapa unit kabel elektrik di situ hilang dipercayai dicuri suspek sebelum terserempak mereka yang cuba melarikan diri.

Menurutnya, salah seorang pengawal keselamatan yang membuat tugas rondaan mendakwa melihat empat lelaki memanjat tembok belakang kilang untuk keluar dari situ.

Katanya, pengawal keselamatan menjerit ke arah suspek sebelum mereka melarikan diri dengan menaiki Proton Wira.

“Pengawal keselamatan itu sempat mengambil nombor pendaftaran kereta sebelum memaklumkannya kepada majikan yang kemudian membuat laporan keesokan hari.

“Kejadian itu bukan pertama kali berlaku malah kilang itu pernah beberapa kali dipecah masuk penjenayah yang melarikan kabel,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, pengawal keselamatan itu mendakwa kumpulan suspek memecah masuk melalui tembok belakang kilang.

Katanya, kilang itu sudah tidak beroperasi dan dalam proses untuk dijual.

Nik Ros Azhan berkata, hasil risikan polis kemudian menahan pemilik kenderaan yang dipercayai suspek yang bekerja sebagai pemandu lori di Perda pada 12.30 tengah malam kelmarin.

Katanya, suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan jenayah.

Beliau berkata, susulan penahanan suspek pertama, polis menahan seorang lagi suspek berusia 31 tahun 1.30 pagi semalam di Prai.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kereta suspek pertama, polis menemui dua pemotong kabel dan peralatan lain digunakan untuk mencuri kabel.

Menurutnya, suspek direman bagi tujuan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: August 22, 2019 @ 10:43am
d