mutakhir

IPU Miri pada tahap bahaya

Oleh Kandau Sidi

STESEN pemantauan kualiti udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) mencatatkan indeks pencemaran udara (IPU) bacaan bahaya tertinggi iaitu 404 di Miri, hari ini.

Bacaan tertinggi itu direkodkan jam 8 pagi, namun IPU di kawasan berhampiran termasuk Senadin, Tudan, Kuala Baram dan Permyjaya berubah disebabkan perubahan tiupan angin dan sedikit hujan di kawasan hutan terbakar.

Mengikut laporan JAS, kawasan stesen yang merekodkan IPU di tahap bahaya ialah Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri.

Manakala, sehingga jam 4 petang, stesen Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Baram 2 mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat iaitu 204 manakala stesen Miri berada pada kategori sederhana dengan bacaan 93.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya mendapati bekas tapak yang pernah terbakar mengeluarkan asap semula.

“Terdapat beberapa tompok api kecil berdekatan kawasan Lot 3709 dan Lot 3709 selain berdekatan Kompleks Kebajikan Hamidah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih berada di lokasi untuk mengawal kebakaran hutan berkenaan.

Disiarkan pada: August 22, 2019 @ 4:54pm
d