mutakhir

Suami masih hilang, ayah pula meninggal

Oleh Zaid Salim

“PADA ketika suami belum ditemui, saya diuji apabila bapa meninggal dunia akibat serangan jantung pada Selasa lalu,” kata Ruhayati Awang Lah, 56, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Pak Jin, Kuala Nerus, hari ini.

Ruhayati adalah isteri kepada nelayan, Makhtar Ibrahim, 59, yang dilaporkan hilang selepas jatuh ke laut ketika menangkap ikan berhampiran Pelantar Minyak Dulang, kira-kira 67.7 batu nautika dari muara Kuala Terengganu pada 3 Ogos lalu.

Ruhayati berkata, walaupun Allahyarham Abdul Aziz Puteh, 76, hanya bapa tiri, hubungan mereka rapat kerana dia membesar di bawah jagaan lelaki terbabit sejak kecil.

“Belum lagi hilang rasa sedih dengan kejadian menimpa suami, saya diuji dengan pemergian arwah bapa pada 5.20 pagi Selasa lalu.

“Mengenai nasib suami, saya menyerahkan segala-galanya kepada takdir selain sentiasa mengharapkan dia pulang dalam selamat.

“Memanglah ramai yang mengatakan suami sudah tiada dan saya reda sekiranya takdir sudah menentukan dia pergi dalam keadaan begitu (hilang di laut).

“Jika diikutkan logik, tentunya suami sudah tiada, namun sebagai isteri saya mengharapkan dia balik malah naluri saya kuat mengatakan dia masih hidup,” katanya.

Ruhayati berkata, dia bersama dua anak, Nur Atiqah, 24, dan Muhammad Redzuan, 21, serta ahli keluarga lain tidak putus berdoa dan melakukan solat hajat sama ada secara bersendirian atau berjemaah di rumah dan masjid serta surau.

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, pihaknya tidak menemui sebarang petunjuk berhubung kejadian itu.

“Ketika ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa ditangguhkan buat sementara waktu dan akan disambung semula apabila kami menemui petunjuk baru.

“Bagaimanapun, aset kami yang menjalankan rondaan di laut sentiasa melakukan pemantauan dan jika ada petunjuk baru, kami akan gerakkan semula pencarian bersama beberapa agensi keselamatan lain,” katanya.

Dalam kejadian 3 Ogos lalu, Makhtar bersama empat rakan nelayan termasuk tekong dikatakan keluar ke laut untuk menangkap ikan di kawasan berhampiran Pelantar Dulang kira-kira 67.7 batu nautika dari muara Kuala Terengganu pada 5.30 petang.

Lelaki terbabit disedari hilang dan rakan mangsa mengesyaki dia terjatuh ke laut selepas menemui selipar dan topi yang dipakainya terapung di permukaan air.

Berita berkaitan

Jika sudah takdir, saya reda

Hanya nampak topi, selipar

Solat hajat buat Makhtar

'Tidak putus-putus berdoa'

Disiarkan pada: August 22, 2019 @ 7:37pm
d