mutakhir

Dr Zakir Naik lapor polis lagi

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

PENCERAMAH bebas, Dr Zakir Naik membuat satu lagi laporan polis terhadap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr P Ramasamy hari ini.

Laporan polis itu dibuat selepas Zakir selesai memberi keterangan di Bukit Aman hari ini.

Peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, laporan itu berhubung kenyataan Ramasamy yang melabelkan Dr Zakir sebagai penipu, beracun, penuh helah dan menyebarkan kebencian.

Menurutnya, Ramasamy berkata demikian ketika wawancara secara langsung dengan sebuah portal India semalam.

“Perbuatan itu secara langsung menjatuhkan reputasi Dr Zakir. Satu surat tuntutan permohonan maaf akan dihantar kepada Ramasamy esok.

“Dr Zakir dijangka ke Bukit Aman semula bagi memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuatnya itu pada Isnin ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas Dr Zakir selesai memberi keterangan kepada polis pada 7.30 malam tadi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed ketika dihubungi berkata, Dr Zakir diambil keterangan pada hari ini berhubung dengan laporan polis yang dibuatnya terhadap beberapa ahli politik sebelum ini.

“Laporan yang dibuatnya itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah,” katanya.

Dr Zakir sebelum ini dilaporkan membuat laporan polis terhadap Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran; Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M Satees dan bekas duta Malaysia ke Kanada, Dennis J Ignatius kerana didakwa membuat kenyataan fitnah mengaitkan dirinya.

Disiarkan pada: August 22, 2019 @ 9:24pm
d