mutakhir

[UPDATE] Paul Yong dinasihatkan bercuti

Oleh Muhammad Apendy Issahak

KERAJAAN negeri mengambil maklum keputusan Peguam Negara mendakwa Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru negeri, Paul Yong Choo Kiong mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya menghormati proses itu memandangkan keluhuran undang-undang adalah prinsip asas dalam masyarakat negara ini dan pada masa sama turut menghormati prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

“Saya mendapati prestasi Paul Yong sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak adalah memuaskan dan beliau memberi kerjasama baik kepada semua pihak dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

“Bagaimanapun, bagi menghormati proses undang-undang, saya menasihatkan Paul Yong bercuti daripada tugas rasmi beliau termasuk tidak mengambil bahagian dalam apa juga mesyuarat yang membabitkan proses membuat keputusan sehingga proses perbicaraan selesai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, secara peribadi beliau terkejut atas apa berlaku dan berharap keluarga Paul Yong khususnya isteri dan anak-anaknya bersabar dalam melalui proses perundangan.

“Saya berharap keadilan ditegakkan kepada semua pihak dalam kes ini.

“Saya juga menyeru semua penyokong Paul Yong supaya bertenang dan menghormati proses undang-undang dengan tidak melakukan perkara yang boleh merumitkan lagi keadaan,” katanya.

Ahmad Faizal juga meminta orang ramai menghormati proses perundangan dengan tidak membuat sebarang spekulasi dengan cuba mendahului tugas polis, pendakwa dan hakim dengan menjatuhkan hukuman di media sosial.

“Sebagai rakyat bertanggungjawab, sewajarnya kita menaruh sepenuh keyakinan kepada institusi kehakiman negara dalam menegakkan keadilan dan kebenaran.

“Dalam pada itu, saya memberi jaminan proses perundangan terhadap Paul Yong tidak akan menjejaskan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri.

“Setakat ini, tidak ada keperluan untuk melakukan sebarang rombakan drastik dan semua barisan EXCO kerajaan negeri sedia ada mampu memikul tanggungjawab untuk menjalankan urusan pentadbiran secara bersama,” katanya.

Disiarkan pada: August 22, 2019 @ 10:25pm
d