mutakhir

'Wang besar' nanti kaki pancing

Oleh HM Digital

PERTANDINGAN memancing menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai RM20,000 akan diadakan di Taman Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur, Ahad ini.

Ia adalah siri keenam sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2019 bertemakan 'Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih' bagi menekankan kepentingan perpaduan serta semangat cintakan negara demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Mohd Nazam Harun berkata, aktiviti sihat bertemakan ‘Jom Pancing, Rakyat Ceria, Komuniti Sejahtera’ itu sentiasa dinantikan pemancing sambil beriadah bersama keluarga.

“Juara pertandingan ini akan membawa pulang RM6,000 diikuti RM2,000 untuk naib juara dan ketiga bakal memperoleh RM1,000.

“Pemenang keempat hingga ke-10 akan menerima RM200, pemenang tempat ke-11 hingga 80 menerima RM100 setiap seorang manakala tempat ke 81 hingga ke 100 menerima RM50 setiap seorang.

“Pada tahun ini, DBKL turut menyediakan hadiah khas untuk pemenang ikan keli iaitu juara menerima RM300, kedua RM200, ketiga hingga ke 7 menerima RM100 dan tempat kelapan hingga ke 10 menerima RM50,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melepaskan lebih satu tan ikan pelbagai spesies termasuk patin dengan saiz antara empat hingga lima kilogram (kg) seekor di tasik itu, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Hasliza Abdul Hamid serta Pengurus Acara dan Tajaan, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Muhammad Fauzi Ahmad.

Beliau berkata, yuran RM40 dikenakan untuk sebatang joran dan sebanyak 1,000 penyertaan awal layak menerima satu botol air saiz 1 liter.

Pendaftaran boleh dilakukan di meja urus setia di lokasi pertandingan pada Sabtu ini, bermula 1 tengah hari hingga 9 malam dan keesokannya kaunter dibuka dari 6.30 pagi hingga 10 pagi.

Disiarkan pada: August 22, 2019 @ 10:38pm
d