mutakhir

Selimut api guna pasir

Oleh Mohd Sabran Md Sani

TEMPOH 24 jam sudah berlalu namun anggota bomba dan penyelamat masih bertungkus-lumus memadam kebakaran stor penyimpanan bahan kimia aluminium dross di Jalan Perindustrian 5, Kawasan Perindustrian Pontian, dekat Pontian di sini.

Kebakaran yang bermula jam 4 petang kelmarin, menyebabkan bomba menggiatkan usaha termasuk menimbus bahan kimia itu menggunakan tanah dan pasir.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Iqbal Raduan berkata, stor itu dikenal pasti menyimpan 1,116 beg berisi 558 tan bahan kimia tapi hanya 24 beg didapati terbakar manakala beg selebihnya sudah dibawa keluar dari stor dan diletakkan di tempat selamat dalam kawasan kilang itu.

“Setiap beg itu berisi 500 kilogram bahan kimia berkenaan. Pada jam 11.30 pagi tadi (semalam), Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) membuat kerja-kerja nyahcemar dengan teknik ‘menyelimut’ kebakaran itu menggunakan tanah dan pasir,” katanya.

Iqbal berkata, buat masa ini, bomba menunggu pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat pelupusan bahan kimia berkenaan.

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini manakala punca kebakaran dan kerugian disiasat.

Katanya setakat jam 3.30 petang ini, operasi pemadaman kebakaran itu masih diteruskan.

Beliau sebelum ini melaporkan Pusat Gerakan Operasi Bomba Johor menerima panggilan kecemasan kebakaran menerusi talian MERS 999 pada jam 3.59 petang kelmarin.

Dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru dengan kekuatan sembilan anggota dan dibantu tujuh anggota HAZMAT dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru bergegas ke tempat kejadian bagi memadam kebakaran.

Katanya, sejurus tiba di kawasan itu, bomba mendapati bahan kimia itu tidak boleh dipadamkan dengan air kerana akan terbakar apabila bertindak balas dengan air.

Proses pemadaman bagaimanapun dibuat dengan menggunakan alat pemadam api sebagai tindakan awal.

Disiarkan pada: August 23, 2019 @ 5:10am
d