mutakhir

Kokain, ketamin RM676 juta untuk dieksport

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

DADAH jenis kokain dan ketamin bernilai RM676 juta yang dirampas dalam dua serbuan Op Soda di Selangor, pada Ahad lalu, dipercayai untuk dieksport ke negara ketiga.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri Paddy Abdul Halim berkata, dadah itu dibawa masuk dari Pakistan dan Ecuador melalui Pelabuhan Klang, Selangor sebelum disembunyikan di dua premis berasingan.

“Malaysia dijadikan transit sebelum bekalan berkenaan dieksport ke negara ketiga.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti negara terbabit. Kita percaya rampasan ini adalah terbesar di Asia,” katanya pada sidang media di Cawangan Narkotik JKDM di Nilai, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

Mengulas mengenai Op Soda, Paddy berkata, serbuan itu dilakukan oleh anggota Cawangan Narkotik JKDM dan JSJN Bukit Aman bersama Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) selepas risikan selama sebulan.

“Serbuan pertama dilakukan di premis di Puncak Alam pada 4.30 petang, 18 Ogos lalu dan menahan empat lelaki tempatan serta sembilan lelaki warga asing berusia 27 hingga 56 tahun.

“Hasil serbuan, 11 guni putih Light Soda Ash mengandungi ketamin seberat 467 kilogram ditemui.

“Soal siasat suspek utama membawa kepada serbuan di sebuah lagi premis di Seksyen U5 Shah Alam pada 9.20 malam hari sama dan menemui beberapa bungkusan mengandungi kokain seberat 3.2 tan,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek direman selama 12 hari sehingga 30 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Mohd Khalil berkata, beliau percaya kokain dipercayai untuk pasaran luar berikutan penggunaan dadah jenis itu masih kurang di negara ini.

Katanya, kali terakhir pihaknya merampas dadah jenis berkenaan pada Februari lalu membabitkan rampasan sebanyak 19 kilogram.

Disiarkan pada: August 23, 2019 @ 11:05am
d