mutakhir

Proses sijil nikah, cerai, rujuk 24 jam

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

JABATAN Agama Islam Pahang (JAIP) menjadi agensi penguat kuasa agama pertama di Malaysia melaksanakan proses pengimejan digital bagi sijil nikah, cerai dan rujuk.

Pengarahnya, Datuk Syed Ahmad Fuad Syed Tahar berkata, proses itu dilakukan

dengan kerjasama Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) dan sudah bermula sejak awal tahun.

“Apabila proses ini diperkenalkan, tempoh menunggu bagi setiap pemohon mendapatkan salinan sijil mereka dapat dipendekkan kepada 24 jam berbanding sebelum ini kena menunggu selama 14 hari.

“Sudah pasti langkah yang dilaksana JAIP ini dapat memberikan perkhidmatan lebih efisien kepada pelanggan kita,” katanya pada sidang media selepas sesi taklimat Proses Pengimejan Digital Sijil Nikah, Cerai dan Rujuk di Dewan Utama Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan, hari ini.

Syed Ahmad Fuad berkata, selain mempercepatkan tempoh menunggu, tujuan lain adalah untuk memastikan semua rekod perkahwinan, perceraian dan rujuk dapat diselamatkan daripada rosak, memandangkan kaedah penyimpanan lama tidak lagi sesuai.

“Kalau ikut kaedah (penyimpanan rekod) lama kita simpan dalam buku daftar yang mempunyai risiko dimakan anai-anai atau terkoyak atau butiran (tulisan) tidak jelas akibat pudar.

“Kita sangat mengalu-alukan kerjasama dengan pihak PNMB dan sudah pasti proses ini dapat menyelamatkan rekod semua urusan nikah, cerai dan rujuk di Pahang sejak 1920 hingga 2004,” katanya.

Beliau turut memberitahu proses pengimejan digital itu sudah siap di peringkat Pejabat Agama Islam Daerah Temerloh awal Ogos lalu dan kini sedang dilakukan di Kuantan, sebelum ke daerah lain.

Pihaknya menjangkakan, proses pengimejan digital itu selesai menjelang hujung tahun depan.

“Pemilihan (daerah) Temerloh dan Kuantan (sebagai terawal) dibuat memandangkan kedua-dua daerah ini paling banyak rekod perkahwinan, perceraian dan kes rujuk.

“Kalau kita tengok di Temerloh, proses pengimejan digital ini sudah selesai mengimbas 2,000 buku daftar nikah dan 12,500 sijil berkaitan, manakala bagi Kuantan pula, kita ada 1,600 buku daftar nikah dan 23,417 sijil yang sedang dalam proses imbasan sebelum dimasukkan dalam sistem berkenaan,” katanya.

From: Norain

Disiarkan pada: August 23, 2019 @ 1:47pm
d