mutakhir

Pinjaman tambahan bayar komitmen terdahulu

Oleh BERNAMA

PINJAMAN tambahan kerajaan sebanyak RM58 bilion dalam tempoh enam bulan pertama, tahun ini digunakan antara lain untuk membayar komitmen berterusan yang dibuat Pentadbiran terdahulu, termasuk bayaran balik hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, tidak seperti kerajaan sebelum ini, yang menyembunyikan pembayaran pinjaman 1MDB daripada orang awam, kerajaan sekarang cuba lebih telus dengan menyatakan fakta sebenar, termasuk hal-hal yang berkaitan kewangan.

“Kami (kerajaan semasa) sangat terbuka dan telus, dengan menunjukkan hutang sebenar. Bukan hanya hutang sebenar, malah liabiliti kontinjen dan jaminan kerajaan.

“Sikap keterbukaan dengan menunjukkan kedudukan sebenar kewangan membolehkan agensi penarafan kredit antarabangsa untuk terus menaruh keyakinan terhadap Malaysia, dan mereka tidak menurunkan penarafan kredit Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kelab syarikat sosial Yayasan AirAsia di Kuala Lumpur, hari ini.

Lim berkata kerajaan terdahulu menyembunyikan hakikat bahawa mereka membayar pinjaman 1MDB.

“Hanya apabila kerajaan baharu mengambil alih, baru kita tahu mereka (kerajaan terdahulu) telah membayar pinjaman 1MDB,” katanya, menambah bahawa sebarang peningkatan hutang semasa juga disebabkan oleh komitmen sedia ada untuk perbelanjaan pembangunan.

Beliau berkata, banyak perbelanjaan pembangunan yang diwujudkan oleh kerajaan terdahulu yang perlu diteruskan oleh kerajaan baharu.

“Sehingga pelan tiga tahun ini selesai, kami perlu memenuhi komitmennya dan pada masa yang sama, kami berharap dapat melaksanakan projek infrastruktur pembangunan (lain) yang akan menjadi sangat penting bagi negara dalam jangka panjang,” katanya.

Menurutnya, prestasi ekonomi Malaysia setakat ini menunjukkan bahawa negara tidak sahaja mengatasi unjuran pasaran, bahkan pelaburan asing kembali memasuki negara.

Sementara itu, kelab sosial Yayasan AirAsia, Destination: GOOD, menjual lebih 400 barangan bertanggungjawab dan beretika yang diperoleh daripada 30 syarikat sosial di ASEAN.

Yayasan itu juga menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Kraftangan Malaysia untuk membawa kraf Malaysia kepada khalayak baharu, dan dengan Minconsult Sdn Bhd, rakan kongsi korporat pertama yang berpengalaman di AirAsia, bersama-sama membiayai aktiviti sosial di seluruh dunia.

Terdahulu dalam ucapannya, Lim berkata Yayasan Airasia melabur RM2.1 juta dalam tempoh dua tahun akan datang untuk menjadikan kelab itu sebagai hab keusahawanan sosial.

“Pada masa ini, Yayasan AirAsia mempunyai 26 penerima geran sosial dari tujuh negara dengan setiap penerima dana memperoleh US$20,000 (US$1=RM4.18) selama setahun.

“Setiap geran secara langsung memberi manfaat kepada 100 orang yang terbabit dengan perusahaan sosial. Saya diberitahu jumlah ini akan meningkat hasil kerjasama Kraftangan Malaysia (melalui MoU),” katanya.

Disiarkan pada: August 23, 2019 @ 2:22pm
d