mutakhir

Polis wanita positif dadah di Melaka

Oleh Nur Saliawati Salberi

ANGGOTA polis wanita antara 11 yang ditahan selepas didapati positif dadah dalam Op Blue Devil yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 13 Ogos lalu.

Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka Asisten Komisioner Salim Youb berkata, kesemua 11 anggota yang ditahan itu berusia antara 20 hingga 50-an.

Menurutnya, seorang daripada mereka iaitu anggota Pasukan Polis Marin (PPM) didapati memiliki syabu.

“Sebanyak 68 pemeriksaan sudah dibuat terhadap anggota polis di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Melaka di IPK Melaka hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pengurusan (Bahagian Dasar Sumber Manusia) Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Azmi Abu Kassim dan Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Shahrul Lailli Masduki.

Sementara itu, Azmi berkata, operasi itu akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan pegawai dan anggota PDRM berintegriti tinggi serta meningkat imej pasukan keselamatan itu.

Beliau berkata, saringan anggota berkenaan dibuat berdasarkan kepada maklum balas yang diterima daripada pegawai pemerintah.

“Bilangan yang dikenal pasti (akan diperiksa) amat sedikit hanya 0.03 peratus daripada jumlah kekuatan organisasi dengan kira- kira 120,000 orang.

“Tidak kesemua daripada 0.03 peratus yang dikenal pasti itu apabila dilakukan pemeriksaan urin didapati positif,” katanya.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan lebih 100 anggota polis dikesan positif dadah menerusi operasi itu yang dijalankan di setiap kontinjen sejak minggu lalu.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador turut terkejut dengan jumlah terbabit yang disifatkan berada pada tahap kritikal dan serius.

Disiarkan pada: August 23, 2019 @ 3:11pm
d