mutakhir

Mat Cabai diburu polis

Oleh Shamsul Munir Safini

TINDAKAN dua lelaki memecah masuk kedai peralatan pertukangan di Bagan Ajam, Butterworth membawa padah selepas mereka diberkas polis.

Bagaimanapun seorang lagi yang menunggu di dalam kereta dikenali ‘Mat Cabai’ diburu polis selepas berjaya melarikan diri.

Dalam kejadian Selasa lalu, lelaki menghubungi polis selepas melihat dua lelaki memecah masuk kedai peralatan pertukangan di Bagan Ajam pada 5.10 pagi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, susulan itu polis yang tiba di lokasi menahan seorang suspek yang cuba melarikan diri berdekatan premis.

“Seorang lagi suspek terperangkap selepas premis itu dikepung polis.

“Ketika cuba diberkas, suspek bertindak agresif menyebabkan berlaku pergelutan sebelum dia berjaya ditahan.

“Suspek ketiga (Mat Cabai) yang menunggu dua suspek berkenaan di Perodua Viva dengan nombor pendaftaran PHU 727 melarikan diri selepas menyedari rakannya diberkas polis,” katanya.

Menurutnya, suspek berusia 23 dan 37 tahun itu direman untuk membantu siasatan dan masing-masing ada enam dan tiga kes jenayah lampau.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Mat Cabai diminta menghubungi polis.

Menurutnya, suspek juga mengaku terbabit dalam beberapa kejadian pecah kedai dan sarang burung walit di daerah itu.

Noorzainy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Disiarkan pada: August 23, 2019 @ 3:31pm
d