mutakhir

Makan sepuasnya, bayar seikhlas hati

Oleh Noorazura Abdul Rahman

MAKAN sepuas hati, bayar ikut rasa hati! Begitulah konsep Restoran Ikhwan di Bandar Darulaman di Kubang Pasu setiap Jumaat dengan hanya menyediakan kotak bayaran bagi membantu golongan kurang berkemampuan yang menjamu selera di premis itu.

Pengurusnya, Hisham Hashim, 49, berkata, pelanggan boleh makan sebanyak mana yang boleh dan membayar seikhlas hati dengan hanya memasukkan duit ke dalam kotak yang diletakkan di kaunter bayaran.

Menurutnya, pihak pengurusan mengambil pendekatan berkenaan sejak lima bulan lalu sebagai tanda menghargai pelanggan tetap dan membantu insan yang tidak bernasib baik.

“Pelanggan boleh makan apa saja, sama ada roti canai, lontong, nasi lemak dan nasi berlauk yang kami sediakan bermula 8 pagi sehingga 2 petang setiap Jumaat dan juruwang tidak akan berada di kaunter.

“Kami menganggap pelanggan adalah tetamu kerana mereka membawa keberkatan dan rahmat dalam perniagaan, kami melayan dan menyapa setiap pelanggan supaya mereka selesa makan di sini.

“Cara ini juga akan memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan untuk makan dan boleh membuat bayaran mengikut kemampuan mereka,” katanya.

Hisham berkata, niat mereka melakukan amal jariah itu tidak pernah merugikan apabila ia secara tidak langsung turut memberi peluang kepada pelanggan yang berkemampuan bersedekah.

Menurutnya, wang yang dibayar itu pula akan digunakan oleh pihak restoran untuk membeli barangan makanan keperluan asas seperti beras, gula dan minyak masak sebelum diserahkan kepada orang miskin di sekitar kawasan itu.

Sementara itu, seorang pelanggan, Noraini Osman, 57, berkata, restoran itu menjadi pilihannya bersama rakannya selepas pulang beriadah kerana makanan yang disediakan memenuhi citarasanya.

“Pendekatan yang dilakukan restoran ini sangat baik, ramai yang datang ke sini pada Jumaat tanpa mengira latar belakang.

“Saya sendiri merupakan pelanggan tetap, apa yang restoran ini lakukan harus dipuji kerana dapat membantu golongan kurang berkemampuan disamping kita juga dapat bersedekah,” katanya.

Disiarkan pada: August 23, 2019 @ 3:57pm
d