mutakhir

Sedia bekalan air, elektrik secepat mungkin - TPM

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa semua pihak untuk bekerjasama dalam menyelesaikan isu dihadapi Orang Asli di Kampung Kuala Koh, Gua Musang bagi memastikan perkara yang tidak diingini berulang.

Perkara itu ditegaskan Dr Wan Azizah dalam satu kenyataan dikeluarkan Pejabat Timbalan Perdana Menteri selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan tindakan susulan ke atas isu Orang Asli Kuala Koh, hari ini.

Susulan mesyuarat itu, beberapa tindakan dipersetujui iaitu Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan agensi berkaitan perlu bekerjasama untuk memastikan bekalan air dan elektrik di Kampung Kuala Koh disediakan secepat mungkin.

Selain itu, Kementerian Kesihatan perlu meneruskan program vaksinasi, nutrisi dan penjagaan kesihatan kepada masyarakat, malah JAKOA juga perlu memainkan peranan lebih aktif bagi mengenal pasti peluang pekerjaan baru kepada penduduk Orang Asli Kuala Koh terbabit.

“Dalam pada itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan perlu memastikan Projek Kelas Khas (ProKHAS) bagi Orang Asli suku Batek diwujudkan segera dan Jabatan Pendaftaran Negara pula perlu memastikan semua Orang Asli di Kuala Koh sama ada yang baru Iahir atau golongan muda dan tua didaftarkan supaya mereka tidak ketinggalan dalam mendapat manfaat sebaga warga Malaysia.

“Selain itu, kerjasama dengan kerajaan negeri terutama Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan Pegawai Jajahan Gua Musang perlu ditingkatkan untuk memastikan kebajikan dan masa depan Orang Asli Kuala Koh lebih terjamin,” katanya.

Mesyuarat itu adalah susulan daripada mesyuarat penyelarasan bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi agensi kerajaan yang diadakan pada 18 Jun lalu.

Mesyuarat hari ini juga diadakan bagi mengetahui status terkini penyediaan bekalan air dan elektrik, status pewujudan Pusat Pembelajaran Alternatif (ALC), Sekolah Komuniti (CLC), status program vaksinasi dan pendaftaran kelahiran secara bergerak dan status penyediaan peluang pekerjaan dan sebagainya.

Disiarkan pada: August 23, 2019 @ 4:59pm
d