mutakhir

Mekanisme baru untuk Go-Jek

Oleh Siti Sofia Md Nasir

KEMENTERIAN Pengangkutan yakin dapat membentuk satu mekanisme baharu dalam pelaksanaan perkhidmatan teksi motosikal, Go-Jek yang dilihat mengundang sensitiviti kepada masyarakat Muslim.

Menterinya, Anthony Loke berkata, pihaknya melihat perkhidmatan teksi motosikal itu memberi lebih banyak kebaikan khususnya dalam memupuk sikap bertanggungjawab kepada penunggang motosikal.

“Kabinet memberi masa sebulan kepada kementerian mengkaji perundangan dan bagaimana harus dilaksanakan. Semua isu ini (termasuk isu agama), akan kita bincangkan.

“Saya yakin akan ada satu mekanisme benarkan Go-Jek dilaksanakan tanpa mengguris hati mana-mana pihak. Apa yang lebih menjadi keutamaan adalah ciri keselamatan kepada penunggang dan pembonceng,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pas Mutiara Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) di Weld Quay, Georgetown, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid yang berpendapat pelaksanaan Go-Jek dilihat boleh mengundang fitnah berikutan penunggang dan pelanggan adalah bukan mahram.

Semalam, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, Kabinet mengarahkan Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Belia dan Sukan membuat kajian berhubung mekanisme pelaksanaan selain undang-undang berkaitan khusus untuk perkhidmatan itu di Malaysia.

Sementara itu, Anthony mengesahkan levi pelepasan bagi semua penumpang udara ke luar negara akan mula berkuat kuasa 1 September ini.

“Setahu saya, perkara ini bukan di bawah Kementerian Pengangkutan tetapi saya boleh mengesahkan Kabinet bersetuju menguatkuasakan levi pelepasan ini dan ia akan dilaksanakan 1 September ini,” katanya.

Dalam pembentangan Bajet 2019, kerajaan bercadang mengenakan levi pelepasan bagi semua penumpang udara ke luar negara iaitu RM20 ke negara ASEAN dan RM40 ke negara lain mulai 1 Jun 2019 dalam usaha menggalak pembangunan pelancongan domestik.

Rang Undang-undang (RUU) Levi Pelepasan 2019 bagi menguatkuasakan kutipan levi bagi semua penumpang udara itu dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat, April lalu.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada minggu lalu dilaporkan berkata kerajaan akan mengkaji struktur cukai dikenakan terhadap penumpang syarikat penerbangan tambang rendah dan perkhidmatan penuh.

Dalam perkembangan berasingan, Anthony berkata, perbincangan berkaitan pembinaan Lapangan Terbang Kulim (KXP) masih berjalan dan belum dimuktamadkan.

Katanya, ketika ini, pihaknya hanya mengadakan pertemuan membabitkan wakil pegawai daripada kerajaan Kedah dan Pulau Pinang dalam menyelesaikan isu pembinaan KXP.

“Ia bukan rancangan pihak kerajaan tetapi adalah projek swasta. Kita belum ada keputusan sama ada ia akan jadi lapangan terbang kargo atau tidak, terpulang kepada pihak pemaju,” katanya.

Disiarkan pada: August 23, 2019 @ 5:05pm
d