mutakhir

Pengsan bau asap rumah terbakar

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

LELAKI ditemui tidak sedarkan diri dipercayai pengsan dalam kebakaran sebuah rumah teres setingkat di Jalan Setia 6/28, Taman Setia Indah di Johor Bahru hari ini.

Chua Wan Nam, 55, ditemui dalam keadaan terduduk ketika proses pemadaman dilakukan bomba.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Noor Ikhson Shukor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran rumah itu pada 10.16 pagi sebelum bergegas ke lokasi dengan sebuah jentera dan EMRS bersama tujuh anggota.

“Kebakaran membabitkan bahagian dapur dan sebuah bilik dengan kemusnahan kira-kira 35 peratus daripada keseluruhan bangunan.

“Terdapat seorang mangsa ditemui dalam keadaan terduduk dan tidak sedarkan diri, bagaimanapun empat anggota bomba memeriksa mangsa dan mendapati dia masih bernyawa,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dengan EMRS untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, operasi turut mendapat bantuan BBP Johor Jaya dengan sebuah jentera sebelum tamat pada 11.37 pagi.

Disiarkan pada: August 23, 2019 @ 5:50pm
d