mutakhir

Habis ikan berterabur

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

LORI membawa muatan ikan terbabas akibat tayar pecah di Kilometer 83.4 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan) di Batu Pahat, hari ini.

Kejadian jam 10.20 pagi itu menyebabkan muatan ikan bertaburan di jalan mengakibatkan aliran trafik bergerak perlahan sebelum semua lorong ditutup untuk kerja pembersihan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, kemalangan membabitkan lori Isuzu dipandu seorang lelaki berusia 57 tahun.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori terbabit dipercayai hilang kawalan akibat tayar hadapan kirinya pecah.

“Kenderaan itu kemudian terbabas melanggar penghadang jalan di sebelah kanan tempat kejadian.

“Akibat kemalangan ini, muatan ikan yang dibawa lori berkenaan terjatuh dan bertaburan di lebuh raya,” katanya.

Beliau berkata, kemalangan itu mengakibatkan aliran trafik bergerak perlahan dan semua lorong ditutup untuk siasatan dan pembersihan sebelum selesai pada jam 12.35 tengah hari.

“Pemandu lori cedera ringan di kepala dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Rule 10 LN 166/59,” katanya.

Disiarkan pada: August 23, 2019 @ 8:21pm
d