mutakhir

Hidangan terakhir suami mithali

Oleh Nor Farhani Che Ad

“SAYA tidak menyangka keterujaan suami menyambut hari lahir anak ketiga kami semalam menjadi petanda arwah akan meninggalkan kami selama-lamanya,” kata Norliza Mohd Yusoff, 40, isteri kepada penyelia ladang sawit, Mohd Taher Mohd Saleh.

Mohd Taher, 39, maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Bagan-Padang Serai ketika dalam perjalanan ke tempat kerja pada 7.44 pagi hari ini.

Norliza berkata, suaminya memang rajin memasak dan kerap mengajak saudara mara serta rakannya menjamu selera di rumah mereka.

“Semalam dia sempat memasak untuk hidangan hari lahir anak ketiga kami (Mohd Danial Haikal, 10) dan dia masak banyak daripada biasa meskipun dalam keadaan penat kerana baru saja pulang dari kerja.

“Arwah seolah-olah dapat merasakan masakannya itu menjadi hidangan terakhir buat kami semua,” katanya ketika ditemui di Hospital Kulim, hari ini.

Norliza berkata, sebelum kemalangan arwah suaminya terlebih dahulu menghantar anak kedua mereka, Nurul Anis Anissa, 12, ke kelas tambahan di Sekolah Kebangsaan Guar Lobak, Padang Serai.

“Waktu saya jumpa anak (Anis) di hospital tadi, dia beritahu ketika dia mencium tangan ayahnya, arwah ada pesan supaya menjaga saya bila dia sudah tiada,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Yusuf Shaari berkata, kemalangan membabitkan tiga motosikal, dua kereta dan sebuah lori itu turut mengorbankan seorang lagi penunggang motosikal.

Pekerja kilang, Muhammad Muzani Nizam, 28, maut manakala seorang penunggang motosikal lain dan pemandu lori cedera.

“Dua penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita berkaitan

'Dua maut kemalangan lima kenderaan'

Disiarkan pada: August 23, 2019 @ 8:53pm
d