mutakhir

'Anak baru lahir, suami pula meninggal'

Oleh Syaherah Mustafa

“CAHAYA mata kedua baru saja 47 hari dilahirkan, tapi suami pula pergi tinggalkan kami,” luah Subaini Noraini Mohd Taimimi, isteri kepada mangsa kemalangan maut, awal pagi hari ini.

Mohamad Nurul Rizuan Mohamed, 25, maut di tempat kejadian selepas kereta Perodua Myvi dipandunya hilang kawalan dan terbabas melanggar pokok serta tiang elektrik di Kampung Bechah, Jalan Tendong-Bunut Susu, Pasir Mas, pada 3 pagi.

Subaini, 27, berkata kali terakhir dia berbual dengan suaminya yang bekerja sebagai buruh itu pada sebelah malam sebelum mangsa memberitahu hendak keluar ke kedai berdekatan.

“Sebelum kejadian, suami tidak menunjukkan sebarang perubahan dan hanya berkelakuan biasa selain sering bergurau bersama dua anak kami terutama dengan yang sulung berusia lima tahun.

“Namun selepas tidak lama dia keluar, saya tiba-tiba dihubungi orang awam memaklumkan suami kemalangan dan tidak menyangka dia meninggalkan kami tiga beranak sekelip mata sahaja.

“Saya reda dan perlu kuat demi dua anak yang masih kecil. Arwah seorang suami dan bapa sangat baik dan disenangi rakan serta ahli keluarga,” katanya ketika dihubungi.

Subaini berkata, arwah suaminya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bunut Susu, Pasir Mas pada 4 petang.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Ismail Jusoh, mengesahkan pihaknya menerima laporan kemalangan itu.

“Hasil siasatan mendapati mangsa yang memandu dari arah Tendong menghala ke Bunut Susu untuk pulang ke rumah terbabas ke bahu jalan sebelah kiri sebelum melanggar pokok dan tiang elektrik yang menyebabkannya parah.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Disiarkan pada: August 23, 2019 @ 11:49pm
d