mutakhir

Bilik rahsia sembunyi GRO [METROTV]

Oleh Farah Suhaidah Othman

SERAMAI 50 pelayan pelanggan (GRO) sanggup berpanas dan bersesak lebih sejam di dalam empat bilik rahsia bagi mengelak dikesan pihak berkuasa di pusat hiburan Jalan Canning Estate, Ipoh, malam tadi.

Bagaimanapun, tempat persembunyian itu tetap berjaya dibongkar 35 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak dalam operasi tiga jam bermula 11.30 malam.

Pasukan terpaksa mengambil masa setengah jam untuk memecahkan empat pintu bilik itu menggunakan tukul besi, sebelum semua wanita asing itu ditahan bersama 35 orang yang lain.

Pengarah Imigresen Perak Kamaluddin Ismail berkata, serbuan itu adalah yang kedua untuk tahun ini membabitkan jumlah tangkapan terbesar iaitu keseluruhan 85 orang bagi sebuah pusat hiburan.

Katanya, 75 wanita adalah warga China dan 10 lagi wanita Vietnam berusia 20 hingga 35 tahun.

“Ada 30 GRO bersembunyi dalam bilik rahsia pertama di bilik karaoke di tingkat tiga premis manakala, 20 GRO lagi di dalam bilik kedua di sebalik panel elektrik di tingkat dua.

“Seorang wanita China dan seorang lelaki dipercayai pekerja premis ditemui di bilik rahsia ketiga, manakala bilik keempat kosong yang kita percaya mereka sudah keluar lebih awal.

“Ini adalah serbuan kedua tahun ini di premis sama dan siasatan mendapati ada antara bilik persembunyian itu baru dibuat dan pemilik kerap mengubah suai premis untuk mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Kamaluddin berkata, 12 lelaki warga tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 51(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi pendatang tanpa izin.

“Antara kesalahan yang dikesan semua tangkapan wanita warga asing adalah tiada dokumen perjalanan yang sah serta salah guna pas perjalanan dan permit pekerjaan.

“Siasatan awal mendapati ada antara mereka menggunakan pas pelajar untuk belajar di pusat bahasa di Kuala Lumpur, namun datang ke bandar raya ini dan bekerja sebagai GRO.

“Ada juga menyalahgunakan permit kerja di industri pembinaan dengan bekerja di kelab malam,” katanya.

Menurutnya, semua wanita warga asing itu dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Perak untuk dokumentasi sebelum dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Langkap untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: August 24, 2019 @ 9:03am
d