mutakhir

Sekat anjing negara jiran

Oleh Mohd Roji Kawi

SARAWAK mengetatkan kawalan keselamatannya di semua pintu masuk negeri itu khususnya dekat Kalimantan Barat, Indonesia bagi menghalang kemasukan anjing wilayah berkenaan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, tindakan itu diambil bagi mengekang penyebaran wabak rabies atau penyakit anjing gila.

Katanya, arahan sudah dikeluarkan kepada penguat kuasa keselamatan untuk dikuatkuasakan.

“Larangan ini berkuat kuasa serta merta dan pemantauan rapi harus dilakukan di pintu di sempadan Sarawak dan Kalimantan Barat,” katanya ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, semalam.

Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa itu berkata, langkah berkenaan juga sebahagian pelaksanaan operasi anti-rabies fasa enam yang bermula 28 Ogos hingga 12 September itu.

Katanya, fasa itu akan memfokus pencegahan wabak di Sibu, Kanowit, Song, Kapit, Saratok, Sarikei, Meradong dan Julau.

Uggah berkata, dalam lima operasi terdahulu, 5,998 anjing liar berjaya ditangkap.

Dalam pada itu katanya, 300 kes gigitan anjing direkodkan pihaknya pada setiap minggu dan sehingga kini 19 nyawa terkorban akibat rabies yang dikesan pada 2017.

Kes terbaharu membabitkan lelaki berusia 46 tahun dari Padawan yang meninggal dunia pada 7 Ogos lalu.

Disiarkan pada: August 24, 2019 @ 11:23am
d