mutakhir

Suspek dikehendaki polis cedera ditembak

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SUSPEK dikehendaki polis bagi kes mencederakan orang cedera ditembak di kondominium di Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur, malam tadi.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, suspek cedera di kaki dan badan selepas ditembak anggota polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, suspek dikesan bersama dua lagi rakannya menaiki kereta di pintu utama kondominium tersebut.

Menurutnya, mereka kemudiannya ditahan sebelum pemeriksaan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Setapak terhadap kereta yang dinaikinya.

“Namun, ketika polis cuba memeriksa kenderaan itu, seorang daripada rakan suspek yang duduk di bahagian penumpang hadapan melepaskan tembakan ke arah anggota berkenaan sebelum cuba melarikan diri ke jalan utama.

“Suspek sekali lagi melepaskan satu das tembakan kepada anggota polis yang berada di hadapan pintu masuk kondominium sebelum anggota berkenaan bertindak membalas tembakan bagi mempertahankan diri,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Mazlan berkata, tembakan yang dilepaskan anggota polis mengenai seorang daripada suspek menyebabkan suspek cedera di bahagian kaki dan badan.

“Suspek ditahan dan pistol semi-automatik jenis HK USP bersama 35 butir peluru hidup dirampas.

“Dua lagi rakannya bagaimanapun berjaya melarikan diri dan usaha mengesan kedua-dua suspek kini giat dilakukan,”katanya.

Menurutnya, hasil semakan ke atas suspek yang ditahan mendapati dia mempunyai tiga rekod lampau berkaitan jenayah samun dan dadah.

“Suspek kini berada di Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan lanjut dan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 (1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat).

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan diminta tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintenden S. Gopal di talian 011-12334405 dan Hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115999,” katanya.

Disiarkan pada: August 24, 2019 @ 2:32pm
d