mutakhir

DBKL sahkan tapak milik persendirian

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak boleh mengambil tindakan ke atas perkampungan ‘bunian’ dihuni warga asing di Segambut Dalam kerana milik persendirian.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nur Hisham A Dahlan berkata, status tanah itu disahkan selepas siasatan dan tersorok di dalam hutan.

“Selaku pihak berkuasa tempatan, kami hanya boleh ambil tindakan (ke atas milikan persendirian) jika wujud pelanggaran undang-undang tertentu, terutama membabitkan rekaan struktur binaan (bangunan yang ada).

“Jika penempatan itu memiliki bekalan elektrik yang disambung secara haram, ia di bawah bidang kuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB), begitu juga dengan bekalan air, di bawah Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS).

“Apapun, pemaju sesuatu projek seharusnya menyediakan kemudahan penginapan yang lebih sesuai untuk pekerja asing bagi mengelakkan mereka membina penempatan haram,” katanya.

Beliau ditemui pada Program Perumahan Ku Bersih dan Karnival Kerjaya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kepong, Kuala Lumpur, hari ini.

Nur Hisham mengulas laporan Harian Metro mengenai kewujudan perkampungan haram yang didirikan warga asing di kawasan hutan di Segambut Dalam.

Perkampungan yang dipercayai wujud sejak tiga tahun lalu dihuni lebih 100 warga asing dari Indonesia dan Bangladesh, malah dibina di lereng bukit, terlindung daripada pandangan dan turut dilengkapi kemudahan elektrik serta air yang diperoleh secara haram.

Kewujudannya terbongkar apabila sepasukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur menggempur kawasan itu dalam Ops Sapu bermula 1.30 pagi semalam.

Berita berkaitan

'Bunian' tersorok di hutan Segambut Dalam

Disiarkan pada: August 24, 2019 @ 2:36pm
d