mutakhir

Meracau tak mahu ke hospital

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

GELAGAT lelaki tidak siuman duduk di bonet hadapan kereta ahli keluarganya yang bergerak di sekitar bandar Batu Pahat, semalam, menimbulkan kekecohan dan gangguan lalu-lintas, namun tiada insiden buruk berlaku.

Dalam kejadian jam 9.45 pagi itu, lelaki berusia 49 tahun terbabit dilaporkan tidak cedera dan tiada kenderaan pengguna jalan raya lain mengalami kerosakan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, pihaknya menerima maklumat menerusi Pusat Kawalan Daerah Batu Pahat yang dihubungi orang awam meminta bantuan berikutan adiknya yang kurang siuman meracau.

“Apabila tiba di lokasi, kami dapati seorang lelaki duduk di bonet depan kereta yang sedang bergerak dalam keadaan tidak berbaju.

“Polis berjaya menahan kereta terbabit dan mengawal lalu-lintas berikutan tindakan lelaki itu menarik perhatian pengguna jalan raya dan mencetuskan gangguan lalu-lintas,” katanya.

Beliau berkata, lelaki terbabit kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk diberikan rawatan.

Menurut Azhan, siasatan awal mendapati lelaki itu mempunyai masalah mental dan ahli keluarganya menghantar lelaki berkenaan ke sebuah hospital di Batu Pahat, tetapi dia enggan menerima rawatan dan bertindak di luar jangkaan dengan duduk di bonet kereta selain mengugut akan mengganggu orang lain jika tidak dihantar pulang.

“Tiada sebarang kecederaan dialami lelaki berkenaan dan orang awam dalam kejadian ini. Polis juga mengesahkan tiada sebarang kerosakan awam dan kenderaan pengguna jalan raya dalam kejadian ini,” katanya.

Terdahulu, video berdurasi 23 saat memaparkan keadaan lelaki tidak berbaju duduk di bonet kereta yang bergerak dipercayai berlaku di Jalan Wonderland Tasik Merdeka menghala ke jalan arah Bukit Pasir hingga ke jalan Peserai, Batu Pahat.

Disiarkan pada: August 24, 2019 @ 2:47pm
d