mutakhir

Serah diri lepas gambar keluar FB

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

IBU dan anak perempuan ditahan polis selepas mencuri produk kecantikan di sebuah rangkaian kedai runcit kesihatan dan kecantikan di Fajar, Lahad Datu, semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, suspek berusia 43 dan 21 tahun menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu selepas gambar mereka disiarkan di Facebook (FB) IPD Lahad Datu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, pihaknya menerima laporan daripada penyelia kedai berusia 28 tahun berhubung kejadian yang berlaku Khamis lalu.

Katanya, penyelia mendakwa menyedari dua wanita masuk ke premis dalam keadaan mencurigakan dan disyaki mencuri barangan jualan mereka.

“Sebaik memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV), penyelia premis melihat perbuatan jenayah wanita terbabit.

“Mereka dilihat memasukkan produk kecantikan yang dianggarkan bernilai RM140 ke dalam beg sebelum keluar tanpa membuat pembayaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nasri berkata, kedua-dua suspek yang ditahan mengaku secara lisan melakukan kesalahan berkenaan.

Katanya, suspek disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: August 24, 2019 @ 3:40pm
d