mutakhir

Wanita melecur, 9 premis hangus [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

WANITA melecur di tangan dan kaki kiri dalam kebakaran yang memusnahkan sembilan premis perniagaan di Kawasan Perindustrian Nilai 3, hari ini.

Mangsa, Sim Pei Shi, 29, dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) akibat kecederaan itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Bakarya Mohd Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian jam 9.15 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, kebakaran membabitkan sembilan premis iaitu kedai pemborong barangan runcit, kedai permaidani, restoran dan kedai lampu.

Beliau berkata, tujuh jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Seremban, Seremban 2 dan Mantin, dengan kekuatan 30 pegawai serta anggota terbabit dalam operasi memadamkan kebakaran itu.

“Anggota mengambil masa 30 minit bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke premis bersebelahan. Kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya setengah jam kemudian.

“Seorang wanita melecur di bahagian tangan dan kaki kiri serta luka di bahagian kepala diberi rawatan awal oleh anggota EMRS sebelum dihantar ke HTJS untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di Nilai, hari ini.

Bakarya berkata, berdasarkan saksi kejadian iaitu pekerja kedai pemborong barangan runcit berkenaan memaklumkan berlaku letupan kecil di kotak fius sebelum api marak.

“Dia mendakwa cuba memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api namun gagal sebelum meminta bantuan orang ramai menghubungi bomba,” katanya.

Katanya, premis berkenaan musnah 100 peratus manakala premis lain musnah sebahagiannya.

Beliau berkata, siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian masih dijalankan pihaknya.

Disiarkan pada: August 24, 2019 @ 7:57pm
d