mutakhir

'Tulisan jawi ada seninya'

Oleh Mohd Hilmie Hussin

PETALING JAYA: Tulisan jawi juga seperti penulisan lain yang ada seninya, jadi tidak perlu timbul isu yang tidak sepatutnya apa lagi, tulisan itu bersifat universal dan tidak melambangkan bahasa.

Eksekutif Pemasaran Yayasan Restu, Muhamad Luqman Haqim Mohd Jalaluddin berkata, khat atau nama lainnya kaligrafi seni tulisan sama seperti seni kaligrafi Cina.

“Matlamat kita anjurkan bengkel ini bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Mentari Court Fasa 2 mahu menerapkan tulisan jawi kepada anak muda dari peringkat kanak-kanak lagi.

“Ia sekali gus dapat memartabatkan tulisan jawi sebagai sebahagian daripada tulisan al-Quran,” katanya.

Beliau ditemui pada Program Bengkel Penulisan Jawi dan Khat anjuran KRT Mentari Court Fasa 2 dengan Kerjasama Yayasan Restu di sini, semalam.

Menurutnya, program itu membabitkan penyertaan 120 kanak-kanak berusia tujuh hingga 16 tahun.

Katanya, program dimulakan dengan penerangan mengenai seni khat atau kaligrafi yang mempunyai pelbagai jenis.

Beliau berkata, pembelajaran tulisan jawi itu bukan bertujuan membangkit isu agama, sebaliknya memelihara penulisan jawi.

Disiarkan pada: August 25, 2019 @ 5:11am
d