mutakhir

Peluru di dada bukti cintakan negara

Oleh Norizuan Shamsuddin

“SEPERTI tertanamnya peluru di dada selama 37 tahun, seperti itu rasa cinta saya kepada negara,” kata bekas tentera, Mohd Junoh Mohd Noor, 63, yang terkena tembakan komunis pada 1982.

Mohd Junoh yang ketika itu menjalankan operasi di sempadan Malaysia-Thailand di Hutan Gubir, Kedah terkena dua tembakan masing-masing di dada dan paha kiri dengan peluru di dada tidak dapat dibuang kerana berisiko.

Menceritakan kembali peristiwa itu, Mohd Junoh berkata, dia mula berkhidmat bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika berusia 20 tahun selepas menjalani latihan di Kem Terendak, Melaka selama dua tahun.

Katanya, dia dihantar mengikuti operasi pembersihan hutan di seluruh negara membabitkan antara 20 hingga 30 anggota pasukan batalion pertama Rejimen Renjer Diraja (RRD) di Hutan Gubir, Kedah.

“Pada petang 21 Februari 1982, saya bersama enam rakan menerima maklumat kehadiran pengganas komunis dan diminta melakukan rondaan di sekitar 200 meter dari pos kawalan sebelum dikejutkan bunyi tembakan bertalu-talu ke arah kami.

“Kami berbalas tembakan selama 10 minit dan sewaktu pertempuran, saya tidak sedar dada dan paha sudah terkena tembakan komunis kerana tidak berasa sakit.

“Saya hanya menyedarinya selepas musuh melarikan diri kerana dada terasa sejuk dan kaki kebas selain pakaian dibasahi darah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Hi-Tea bersama Persatuan Veteran ATM Cawangan Hulu Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.

Program itu dirasmikan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid dan dihadiri 250 pesara dan bekas tentera.

Menurut Mohd Junoh, kejadian itu turut menyebabkan dua rakannya cedera terkena tembakan di telinga dan belakang menyebabkan mereka terpaksa mendapatkan bantuan helikopter untuk keluar dari kawasan operasi bagi mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang.

“Proses mengeluarkan serpihan peluru di paha berjaya tetapi di dada tidak dapat dikeluarkan kerana tertusuk di tulang tengah dada.

“Jika dikeluarkan bimbang risiko lain berlaku kerana tulang lambat bercantum dan pembedahan juga boleh mendatangkan pelbagai risiko termasuk lumpuh, jadi saya mengambil keputusan membiarkan peluru ini kekal di dalam badan,” katanya.

Dia yang bersyukur kerana masih diberikan kesihatan baik berkata, peristiwa itu tidak mematahkan semangatnya untuk berjuang mempertahankan tanah air daripada ancaman komunis apabila terus menyertai operasi selepas kembali berkhidmat.

“Namun, selepas 10 tahun perkhidmatan sebagai tentera, saya mengambil keputusan berhenti dan bekerja di sektor pembalakan.

“Walaupun sudah tidak berkhidmat dengan tentera tetapi semangat berjuang demi mempertahankan tanah air masih membara.

“Saya terkilan apabila pengorbanan tentera tidak dihargai setengah pihak. Walaupun tidak semua tentera dapat merasai perang seperti saya tetapi mereka tetap berkorban bagi menjaga keamanan negara termasuk mengawal sempadan negara daripada dicerobohi musuh,” katanya.

Disiarkan pada: August 25, 2019 @ 2:30pm
d