mutakhir

Geran usahawan tak dihentikan

Oleh Noorazura Abdul Rahman

KERAJAAN tetap akan memberikan geran kepada usahawan Bumiputera bersasar sekiranya mereka menunjukkan komitmen yang tinggi untuk menjalankan aktiviti terbabit.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, berkata, geran percuma itu tidak lagi sewenangnya disalurkan berikutan berlaku kekangan kerajaan untuk ‘menjejaki’ atau memantau wang itu samada ia digunakan secara efisien untuk perniagaan atau tidak.

“Apa yang berlaku sebelum ini, geran ini tidak sepenuhnya digunakan untuk memajukan perniagaan. Ada yang guna separuh geran itu untuk berniaga dan separuh lagi ada yang guna untuk beli barang yang tidak berkenaan untuk perniagaan yakni untuk kehendak diri.

“Jadi, kita mahu elakkan perkara ini berlaku kerana geran yang kita beri itu juga adalah duit rakyat. Kita tak boleh guna duit rakyat untuk diserahkan kepada perkara yang tidak pasti.

“Oleh itu, sekarang kita tumpu untuk salurkan geran bersasar seperti geran padanan daripada SME Corp serta geran bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D), projek perintis serta bagi tujuan pembangunan teknologi baharu,”katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Pekan Rabu, Alor Setar, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman, yang menyarankan supaya kementerian itu ditutup susulan keputusannya untuk tidak lagi memberi geran percuma kepada usahawan bumiputera.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata, kerajaan Pakatan Harapan tidak akan mengamalkan kaedah yang digunakan kerajaan sebelum ini yang menyalurkan geran demi kepentingan individu tertentu.

Katanya dahulu geran percuma sering berkaitan dengan individu tertentu atau ahli politik dan ia akan disalurkan kepada mereka yang yang mengenali rapat dengan ahli politik.

“Dulu kita dapati jika geran percuma itu RM10,000 maka hanya RM5,000 akan diberikan kepada usahawan manakala RM5,000 lagi orang tengah ambil. Jadi di zaman kerajaan sekarang ia tidak lagi boleh berlaku.

“Hamidah boleh datang berjumpa saya untuk saya terangkan bentuk geran yang kita salurkan sekarang supaya beliau lebih faham,” katanya.

Disiarkan pada: August 25, 2019 @ 2:31pm
d