mutakhir

Pemandu Grab cedera dilibas parang

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

PEMANDU Grab cedera kaki kiri selepas diserang lelaki ketika dia menunggu ibunya membeli barangan di kedai runcit berdekatan Kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) Salak Selatan, Cheras Rabu lalu.

Lelaki itu yang mahu dikenali Jayram, 22, berkata, dia menunggu ibunya di motosikal pada 7.45 malam bersama dompet yang diletak di raga sebelum didatangi penunggang motosikal.

Jayram berkata, lelaki itu kemudian meminta dia menyerahkan wang dan barangan berharga sebelum dia menyerang dengan cuba memukul menggunakan topi keledar.

Menurutnya, dia sempat menghalang dengan menepis menggunakan tangan sebelum menendang lelaki terbabit.

“Kebetulan ibu saya keluar dari kedai dan bertanya apa yang berlaku dan saya sempat mengambil besi yang ada di situ untuk melindungi diri.

“Bagaimanapun lelaki itu kemudian mengambil sebilah parang dari kedai runcit dan terus melibas ke arah kami,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, lelaki itu turut mengejarnya menyebabkan dia terjatuh sebelum dilibas dengan parang dan terkena di kaki kiri.

“Ibu saya juga cuba mengambil kunci motosikal kami namun disedari lelaki itu yang kemudian datang ke arah ibu dan cuba melibas parang menyebabkan ibu saya yang ketakutan terus berlari masuk ke dalam kedai.

“Dia kemudian mengambil dompet mengandungi wang tunai RM70 dan kunci motosikal saya sebelum melarikan diri,” katanya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Salak Selatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon mengesahkan menerima laporan itu.

Katanya, mangsa menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital manakala ibunya tidak mengalami kecederaan.

“Mangsa kerugian wang tunai RM70 dan set kunci motosikal dan saksi kejadian diminta menyalurkan maklumat dengan menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Satish Maniam di talian 012-6273330.

“Usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: August 25, 2019 @ 3:10pm
d