mutakhir

'Check' dulu, betul ke tidak - TPM [METROTV]

Oleh Idris Musa

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan rakyat agar bertanggungjawab apabila menggunakan media sosial bagi memastikan keharmonian negara tidak terjejas.

Menurutnya, pengaruh media sosial tidak dapat dinafikan apabila semua individu mempunyai telefon pintar namun jika disalah guna boleh mencetuskan pelbagai bahaya antara kaum.

“Kita mahu perpaduan ini kita terus utuhkan, kukuhkan, sebab inilah kekuatan kita bersama.

“Pengaruh media sosial tidak dapat dinafikan. Masyarakat hendaklah bertanggungjawab. Janganlah dengar-dengar, terus siar, ‘check’ dulu, betul ke tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Merdeka #perpaduandihati di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Ampang hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.

Dr Wan Azizah berkata, rakyat perlu lebih matang dalam membuat penilaian apabila berdepan ancaman yang mampu memecahbelahkan perpaduan.

Katanya, rakyat juga harus menolak fahaman sempit daripada suara sumbang yang mahu menggugat ketenteraman dengan menimbulkan isu perkauman.

“Memang ada ekstremis antara kita, tetapi jangan bagi suara ekstremis itu menjadi satu yang membawa, mendorong apa yang kita lakukan dalam hidup kita,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, rakyat harus menghayati konteks sebenar Rukun Negara seterusnya mendukung Perlembagaan Persekutuan bagi mengelak perbalahan antara kaum.

“Nilai murni seperti setiakawan, bersatu dan tidak mempunyai prasangka, prejudis, hendaklah menjadi sesuatu yang sinonim dengan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, soal perpaduan dan kesejahteraan sosial akan terus diberikan penekanan dan menjadi agenda utama kerajaan.

“Semoga kita sebagai rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai agama, budaya dan bahasa, sentiasa suci hati dalam memastikan negara dicintai sentiasa aman dan makmur,” katanya.

Disiarkan pada: August 25, 2019 @ 4:59pm
d