mutakhir

Minta tukar peraturan rambut pelajar lelaki

Oleh Amirul Haswendy Ashari.

"UNTUK sekian lama, pelajar sekolah tidak boleh mempunyai rambut panjang, jika rambut melebihi paras telinga, menutup separuh dahi, hidung atau lebih 15 sentimeter," itu usaha dilakukan seorang individu dipercayai dikenali sebagai Darrell James sejak dua bulan lalu.

Individu itu membuat petisyen untuk meminda dengan memansuhkan peraturan berambut pendek bagi pelajar lelaki di sekolah-sekolah menengah.

Dalam petisyen yang dimuatnaik ke laman Web www.change.org, Darrell menujukan petisyen itu kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya menulis bagi pihak pelajar-pelajar sekolah menengah di Malaysia. Kami juga rakyat.

"Peraturan ini tidak praktikal dan berguna lagi dalam abad ke-21. Pelajar boleh saja hentikan kutu dengan menggunakan syampu dan lain-lain," tulisnya.

Dia berpendapat, pelajar lelaki yang tidak dibenarkan memiliki rambut panjang berbanding pelajar wanita adalah diskriminasi jantina.

Menurutnya, peraturan itu wajar dimansuhkan dan Kementerian Pendidikan sepatutnya fokus pada menambah baik persekitaran pendidikan untuk pelajar berbanding menguatkuasa peraturan yang ketinggalan zaman, diperlukan dan remeh.

"Pelajar (dan ibu bapa mereka) patut dibenarkan untuk memilih sekiranya mereka mahu memiliki rambut panjang berbanding dipaksa pihak sekolah.

"Ini dapat menjimatkan perbelanjaan bagi keluarga miskin yang tidak mampu menghantar anak mereka potong rambut," katanya.

Selain itu, dia turut menyentuh isu peraturan ketat penggunaan gel rambut di beberapa sekolah sehingga ada kes pelajar dirotan hanya kerana menggayakan rambut, sekaligus mendakwa tindakan itu melanggar hak asasi pelajar.

Dia berharap melalui petisyen ini, Perdana Menteri dapat mengambil kira untuk mengubah peraturan berkaitan membenarkan pelajar menyimpan rambut panjang mengikut keselesaan mereka.

"Kami, pelajar-pelajar di Malaysia, masa depan Malaysia memohon anda untuk mengambil kira aduan oleh rakyat," tulisnya.

Setakat ini, petisyen itu sudah memperolehi lebih 700 daripada 1000 tandatangan diperlukan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Disiarkan pada: August 25, 2019 @ 5:45pm
d