mutakhir

Bahana mabuk, isteri makan penumbuk

Oleh Norsyazwani Nasri

SEORANG lelaki ditahan polis selepas menumbuk isterinya di sebuah rumah di Jalan Gambir, Sibu, Jumaat lalu.

Suspek berusia 27 tahun dikatakan tiba-tiba mengamuk sebaik pulang ke rumah dalam keadaan mabuk, kira-kira jam 11 malam.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, selepas memarahi isterinya tanpa sebab, suspek kemudiannya menumbuk muka wanita itu sehingga menyebabkan kecederaan di bibir dan hidung.

“Suspek juga memecahkan televisyen, pinggan mangkuk dan kerusi sehingga menyebabkan rumah berselerak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Stanley berkata, siasatan mendapati mangsa, 19, bekerja sebagai jurusolek berkahwin dengan suspek sejak setahun lalu dan mempunyai seorang bayi lelaki berusia 11 bulan.

“Suspek berjaya ditangkap dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut serta akan dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 427/323 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: August 25, 2019 @ 5:50pm
d