mutakhir

Cemburu punya pasal

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

CEMBURU melihat bekas teman wanitanya bersama lelaki lain menyebabkan lelaki bersama dua rakannya menyerang dengan parang kekasih baru wanita itu di tepi jalan berhampiran Plaza Tol Gombak, Gombak hari ini.

Dalam kejadian 1.05 pagi itu, mangsa berusia 20-an bersama teman wanitanya berusia 21 tahun menaiki kereta hendak ke Genting Highlands bersama sepupu wanita itu.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, bagaimanapun pada 2.30 pagi ketika wanita itu tertidur di dalam kereta dia dikejutkan sepupunya memberitahu teman lelakinya diserang tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta.

Menurutnya, suspek difahamkan menghampiri kereta dipandu mangsa ketika dia berhenti untuk membuang air kecil di tepi jalan berhampiran Plaza Tol Gombak.

“Wanita itu kemudian melihat mangsa diserang dua suspek bersenjatakan parang manakala seorang lagi menunggu di kereta.

“Wanita itu mengecam salah seorang suspek yang juga bekas teman lelakinya,” katanya.

Samsor berkata, selepas membelasah mangsa, suspek melarikan diri sementara mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur.

“Mangsa luka dan terdapat serpihan di kepala, patah tangan kanan serta patah kaki kiri.

“Motif kejadian kerana cemburu apabila suspek melihat bekas kekasihnya bersama teman lelaki baru,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dalam keadaan stabil dan masih dirawat di zon kecemasan HKL dan usaha mengesan suspek giat dijalankan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: August 25, 2019 @ 5:54pm
d