mutakhir

Proses pemutihan PPR dan PA

Oleh Mohamad Hussin

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan proses pemutihan kepada penyewa unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) bagi mengenal pasti mereka yang layak menduduki rumah berkenaan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata, kerajaan bukan bertindak kejam untuk mengusir mereka yang mempunyai tunggakan sewa tetapi mencari jalan penyelesaian.

“Kita akan cuba cari jalan penyelesaian dan pada masa sama melakukan proses pemutihan terhadap penyewa rumah.

“Kita akan bantu mereka yang tidak mampu menjelaskan tunggakan sewa rumah namun kepada mereka yang mampu tetapi gagal membayar akan diambil tindakan.

“DBKL akan kenal pasti siapa yang benar-benar memerlukan bantuan melalui proses pemutihan ini,” katanya ditemui selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Grand Final of Talented Malaysia 2019 di Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif Kumpulan Ken Holdings Bhd, Datuk Kenny Tan.

Khalid berkata, isu tunggakan sewa itu sudah lama berlarutan dan mereka yang mampu diminta menjelaskan tunggakan secepat mungkin.

“Walaupun kerajaan baru mengambil alih pentadbiran bukan bermakna kita tidak berhati perut nak usir mereka tetapi cuba membantu mereka.

“DBKL juga akan menawarkan pekerjaan kepada penghuni PPR menerusi kontraktor pembersihan atau sebagainya,” katanya.

Disiarkan pada: August 25, 2019 @ 8:33pm
d