mutakhir

Nak tipu konon...

Oleh Garret Dawum

SIASATAN awal polis mendapati dakwaan kanak-kanak dan ibu saudaranya diculik yang tular di media sosial tidak benar sebaliknya dua individu itu dipercayai lari dari rumah.

Berdasarkan kenyataan yang tular itu, Dayang Nurul Aina Najwa berusia 10 tahun dan Dayang Siti Nur Safiqah Abang Ghazali, 17, dikatakan dibawa lari dua individu bertopeng muka dan berpakaian gelap menggunakan van putih.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, pihaknya menolak dakwaan kes culik itu yang dikatakan berlaku di Jalan FAC Matang, Kuching.

“Polis percaya ini laporan palsu. Kita ada sebab untuk mempercayai bahawa kedua-dua mangsa sebenarnya lari dari rumah.

“Usaha mengesan mereka giat dilakukan,” katanya ketika dihubungi.

Dev berkata, laporan polis yang dibuat kakak Dayang Siti Nur Safiqah adalah laporan palsu.

“Kami memang menerima laporan itu tetapi kakak mangsa membuat cerita bahawa adik dan anak saudaranya diculik.

“Van putih yang dikatakan digunakan untuk menculik juga tidak wujud,” katanya.

Katanya, membuat laporan palsu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: August 25, 2019 @ 9:35pm
d