mutakhir

MPKu pilih tema kereta api

Oleh Mohd Sabran Md Sani

TEMA ‘Transformasi Perkhidmatan Pengangkutan Keret Api Daerah Kulai’ dipilih Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Daerah Kulai tahun ini.

Yang Dipertuanya, Mohammed Shakib Ali berkata, pemilihan tema itu seiring dengan perubahan elemen suasana stesen kereta api sedia ada kepada yang baharu.

“Ia sejajar dengan pembangunan di dalam Daerah Kulai di mana pembinaan trek berkembar dan pelaksanaan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang sedang giat dilaksanakan.

“Maka dengan ini, besarlah harapan saya, semoga Jawatankuasa Kecil Persiapan yang dilantik dapat memberikan kerjasama dan komitmen yang tinggi bagi memastikan persiapan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar dan jayanya,” katanya pada Mesyuarat Penuh MPKu di Kulai, hari ini.

Sementara itu pada Mesyuarat Penuh Bilangan 08/2019, Mohammed Shakib mengumumkan Setiausaha Majlis Perbandaran Kulai, Norrizam Muhamad,

diarah bertukar tanpa penangguhan berkuat kuasa pada 5 Ogos lalu sebagai Pentadbir Tanah Daerah Pontian.

“Saya mewakili Ahli-Ahli Majlis, Ketua Jabatan MPKu dan seluruh warga kerja MPKu ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah, penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Norrizam Muhamad.

“Ucapan ini di atas kenaikan pangkat ini dan segala sumbangan serta komitmen cemerlang yang diberikan di sepanjang tempoh perkhidmatan (satu tahun tujuh bulan) di MPKu.

“Semoga Allah SWT akan melimpahkan rahmat dan peliharaan-Nya kepada Norrizam Muhamad dan keluarga, dipanjangkan usia, diberikan kesihatan tubuh badan yang baik dan terus berkhidmat dengan cemerlang,” katanya.

Katanya, Setiausaha baharu MPKu dijangka akan dilantik pada bulan September.

Disiarkan pada: August 26, 2019 @ 10:35am
d