mutakhir

Curiga petanda miliki dadah

Oleh Zuliaty Zulkiffli

LELAKI dipercayai ‘tokan’ dadah ditahan polis selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan Kampung Carok Celu, Kubur Panjang, Pendang, semalam.

Suspek berusia 28 tahun berasal dari Kampung Kuala Lanjut, Mukim Lesong, Pokok Sena, ditahan ketika memegang beg biru disyaki mengandungi dadah.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, operasi diketuai Asisten Superintendan Muhammad Amin Mat Yassin bersama anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang, Balai Polis Kubur Panjang dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pendang.

“Suspek dilihat mencurigakan di bawah lampu jalan di tepi jalan kampung berkenaan dan pemeriksaan lanjut menemui 12 paket plastik lutsinar pelbagai saiz mengandungi serbuk dan ketulan dadah disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 64.39 gram.

“Turut ditemui satu paket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 1.25 gram.

“Selain itu, pemeriksaan lanjut dalam beg dibawa menemui lapan paket plastik lutsinar kosong dan sebilah gunting disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti membungkus dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Arriz Sham berkata, lelaki sudah berkahwin dan bekerja sebagai buruh itu memiliki satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Beliau berkata, nilai keseluruhan dadah dirampas dianggarkan RM2,118.

“Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis methapethamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39 B dan 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Arriz Sham berkata, turut dirampas motosikal jenis Honda Wave 125 dipercayai milik suspek.

Disiarkan pada: August 26, 2019 @ 11:14am
d