mutakhir

Go Jek 'bunuh' pemandu teksi?

Oleh Adnan Ibrahim

PERSEKUTUAN Drebar-Drebar Melayu Kluang (PDMK) menganggap cadangan kerajaan untuk memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal atau dikenali Go-Jek akan menjejaskan periuk nasi mereka.

Yang Dipertuanya, Mustakim Jalel berkata, persaingan sistem pengangkutan e-hailing seperti Grab dan Uber sebelum ini sudah cukup membunuh kerjaya mereka.

Katanya, pihaknya amat tidak berpuas hati dengan cadangan itu, walaupun Go Jek kemungkinan tidak beroperasi di bandar kecil seperti Kluang, Batu Pahat atau Segamat.

“Walaupun hanya satu penumpang yang boleh membonceng, namun mereka mampu memperoleh pendapatan yang agak lumayan berikutan perjalanan tidak terhalang walaupun dalam keadaan kesesakan lalu lintas.

“Sekiranya Go Jek turut dibenarkan beroperasi di bandar kecil, sudah pasti penumpang kami akan lebih mudah ‘dicuri’ oleh kumpulan ini,” katanya.

Mustakim berkata demikian selepas mengadakan bantahan terhadap Teksi Bermotosikal atau Go Jek di Hentian Teksi Kluang bersama kira-kira 40 orang ahlinya di Kluang, hari ini.

Katanya, perkhidmatan Go Jek sudah pasti mengurangkan jumlah pendapatan harian yang sudah teruk terjejas pada masa kini.

“Secara amnya, perkhidmatan yang dirancang ini tidak diperlukan di negara ini kerana penyediaan pengangkutan awam yang sudah terlalu banyak seperti bas, teksi dan lain-lain lagi,” katanya.

Menurutnya, banyak perkara perlu difikirkan terlebih dahulu sebelum pelaksanaan teksi motosikal ini diluluskan, terutama sekali berkaitan dengan nasib pemandu teksi yang sudah menjadikan kerjaya ini sebagai punca pendapatan keluarga.

“Bukan bermakna kami menentang perancangan kerajaan untuk menyediakan pekerjaan kepada anak muda masa kini, namun turut perlu difikirkan terlebih dahulu adalah nasib kami sebagai warga tua yang mengusahakan perkhidmatan teksi ini.

“Malah, saya merasakan ia bukan jalan penyelesaian kepada penyediaan pekerjaan kepada anak muda namun dikhuatiri akan meningkatkan lagi kadar kemalangan jalan raya membabitkan motosikal selain masalah sosial,” katanya.

Disiarkan pada: August 26, 2019 @ 11:48am
d