mutakhir

Kantoi judi dalam restoran

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

SERAMAI 34 lelaki tempatan termasuk lapan penganjur perjudian ditahan hasil serbuan dua restoran di Taman Jaya Mas, Skudai, semalam.

Serbuan dua jam dari 6 petang hingga 8 malam itu hasil risikan polis selama seminggu,selepas premis berkenaan disyaki menjalankan aktiviti judi perlumbaan kuda.

Pegawai Turus Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Deputi Superintendan Mohd Zairi Badderul berkata, hasil siasatan awal, sindiket terbabit adalah sindiket yang sama beroperasi, namun lokasinya berpindah randah.

“Ketika serbuan, semua tangkapan sedang leka bertaruh judi dan mereka berusia antara 37 hingga 80 tahun. Mereka bertaruh judi jenis perlumbaan kuda di Macau, Singapura dan Malaysia (Ipoh Race Course).

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan pertaruhan melalui telefon bimbit dan menggunakan pautan untuk ke halaman perjudian itu. Kredit akan dimasukkan di premis di samping mencatit taruhan secara manual. Keputusan akan dikeluarkan melalui paparan televisyen di restoran,” katanya.

Menurut beliau, perlumbaan akan dijalankan mengikut waktu tertentu di tiga negara terbabit iaitu bermula 12.50 tengah hari di Malaysia, 1.10 tengah hari di Singapura dan 3.45 petang di Macau.

“Pusingan akhir perlumbaan adalah pada 6.15 petang di Malaysia, 5.25 petang di Singapura dan 6.35 petang di Macau,” katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas dua televisyen, lima komputer riba, 35 telefon bimbit, 27 buku kecil, empat meja, enam kerusi, tiga peranti jalur lebar, tiga kalkulator, tiga pen, lapan kertas kecil bertulis angka, lapan keratan akhbar, satu beg silang dan wang tunai RM35,605 serta S$85 (RM257.47).

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(3)(a) dan Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953.

Sementara itu, Ops Dadu yang dijalankan hasil risikan itu dianggotai D7 JSJ IPK Johor bersama D7 JSJ Johor Bahru Utara dan Iskandar Puteri dengan seramai lima pegawai dan 12 anggota.

Disiarkan pada: August 26, 2019 @ 12:23pm
d