mutakhir

Ramasamy berjanji hantar pulang Zakir?

Oleh Hairulazim Mahmud

“DR Zakir Naik tidak layak hidup di Malaysia, malah tidak layak hidup di mana-mana dunia bertamadun,” kata Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy.

Beliau berkata demikian semasa diwawancara oleh stesen televisyen India, Republic yang disiarkan secara langsung pada 13 Ogos lalu.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff ketika mendedahkan perkara itu berkata, obses Ramasamy terhadap Zakir amat ketara apabila berjanji dengan kerajaan India terus istiqamah melawan, seterusnya menghantar pulang pendakwah antarabangsa itu.

“Soalnya kini ialah wajarkah Ramasamy berjanji kepada pemerintah India melalui stesen televisyen negara itu bahawa beliau akan terus komited melawan dan akan berusaha memulangkan balik Zakir.

“Tidakkah tindakan begini seolah-olah membenarkan dakwaan Zakir bahawa sekurang-kurangnya Ramasamy sendiri adalah lebih setia kepada India berbanding Malaysia?” katanya, hari ini.

Ramasamy adalah antara pemimpin DAP paling lantang menentang Zakir lebih-lebih lagi selepas pendakwah itu memperoleh status Penduduk Tetap.

Baru-baru ini, Kerajaan mengarahkan supaya pendakwah dari India tidak dibenarkan menyampaikan ceramahnya di seluruh negara bagi meredakan keadaan selepas dibantah oleh banyak pihak selepas tidak berpuas hati kononnya ucapan Zakir menyentuh hal ehwal dalaman Malaysia membabitkan kaum Cina dan India.

Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan Zakir sebelum memohon maaf sambil menegaskan bahawa ucapannya diputar-belit oleh pihak tertentu bertujuan menimbulkan kerisauan banyak pihak.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, status-status Facebook membuktikan bahawa Ramasamy obses sama ada mengutuk Zakir dan penyokongnya.

Katanya, pemimpin DAP itu juga mendesak supaya diambil tindakan ke atas pendakwah terbabit, selain menyatakan kekecewaan kerana tiada tindakan diambil ke atasnya.

Disiarkan pada: August 26, 2019 @ 1:40pm
d