mutakhir

Sekolah diarah tutup akibat kebakaran hutan

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

PEMANGKU Raja, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menitahkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Adang ditutup sementara berikutan kebakaran hutan di lokasi berhampiran.

Terdahulu, baginda yang juga Tunku Mahkota Johor, meninjau kebakaran hutan di Jalan Tanjung Kupang, Kampung Pekajang, Iskandar Puteri, yang masuk hari keenam.

Baginda turut diberikan taklimat mengenai perkembangan terkini operasi pemadaman api oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis sebelum berkenan meninjau keadaan sekolah berkenaan.

SMK Tanjung Adang menempatkan kira-kira 200 pelajar sekolah dan penutupan sementara itu demi kesihatan pelajar.

Untuk rekod, kebakaran hutan sudah merebak sehingga seluas 98 hektar dipercayai akibat cuaca panas dan kering melanda negeri ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia, Dzulkefly Ahmad yang turut mengiringi Tunku Ismail dalam lawatan itu berkata, keadaan terkini Indeks Pencemaran Udara (IPU), semalam, mencatatkan bacaan 63 dan meningkat kepada 81, hari ini.

Dzulkefly berkata, kebakaran masih kekal meliputi kawasan 16 hektar dengan 60 peratus sudah berjaya dipadamkan.

“Kerja-kerja mengorek ‘fire breaker’ berbentuk parit untuk diisi air bagi mengelakkan kawasan kebakaran merebak hampir selesai.

“Kawasan kebakaran sudah dikepung dengan parit ‘fire breaker’, jadi penduduk tidak perlu risau atau bimbang,” katanya.

Beliau berkata, strategi pemadaman kini adalah untuk memadam api di atas dan bawah tanah disebabkan tanah hutan itu adalah tanah gambut dengan menggunakan bekalan air terhad.

“Dua pam air tambahan sudah diterima daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dari Batu Pahat,” katanya.

Disiarkan pada: August 26, 2019 @ 1:51pm
d