mutakhir

Malaysia destinasi ekopelancongan pilihan [METROTV]

Oleh Idris Musa

MALAYSIA kini mengorak langkah ke arah pendigitalan menyeluruh bagi mengubah industri pelancongannya dengan inisiatif pelancongan pintar, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, dengan mendukung seluruh spektrum pendigitalan, akan dapat menyediakan peralatan perlu untuk industri pelancongan dihubungkan di peringkat antarabangsa, mengadakan analisis data secara rapi serta memendekkan rantaian penawaran.

“Untuk semua ini menjadi kenyataan, iklim pelaburan baru adalah penting untuk persekitaran kondusif bagi membolehkan industri pelancongan berpusatkan teknologi berubah ke hadapan.

“Pelaburan dalam infrastruktur keras dan lembut perlu seimbang. Dasar negara perlu membenarkan insentif pelaburan dalam produk yang lebih tidak ketara seperti pemerolehan data, penciptaan kandungan dan kewujudan platform dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) ke-5 di Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi dan Timbalannya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Dr Mahathir berkata, di bawah Dasar Pelancongan Kebangsaan yang baru, Malaysia akan menetapkan Zon Pelaburan Pelancongan Khas strategik di seluruh negara.

Katanya, insentif khusus kini dirumuskan untuk menarik kedua-dua pelaburan infrastruktur keras serta pelaburan berasaskan teknologi baru dalam sektor pelancongan.

“Malaysia menyedari bahawa kemajuan teknologi dalam pelancongan akan memecahkan sempadan dan membuka tak terhingga peluang untuk berkembang di peringkat global,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, industri pelancongan juga harus menjadi pemangkin kepada perlindungan alam sekitar, pemuliharaan serta pelestarian budaya dan warisan tempatan.

Malah katanya, kekayaan pelancongan perlu berkembang luas hingga sampai kepada komuniti terpencil yang menawarkan pengalaman unik kepada pelancong.

“Untuk itu, satu bidang di mana ini dapat dicapai adalah melalui pembangunan ekopelancongan yang mampan,” katanya.

Beliau berkata, ekopelancongan adalah subsektor bernilai tinggi yang menawarkan pengalaman dan pengembaraan tulen unik bagi tempat tertentu.

“Lumrahnya, kerana ketidakcukupannya, ia berpotensi menjadi satu destinasi penting, yang membawa masuk pelancong bernilai tinggi,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Malaysia memiliki hutan hujan berusia lebih 130 juta tahun, pantai, pulau, keindahan semula jadi yang mengagumkan, taman negara dan kepelbagaian rakyatnya.

“Ini meletakkan Malaysia sebagai destinasi ekopelancongan pilihan di dunia dan melalui Rancangan Ekopelancongan Kebangsaan 2016-2025, kita sedang membangunkan destinasi ekopelancongan berasaskan kelompok dengan pakej konsesi istimewa yang memasukkan penggunaan teknologi dan pengurusan eko pintar destinasi.

“Akan ada perkongsian keuntungan antara kerajaan dan pengendali swasta,” katanya.

Disiarkan pada: August 26, 2019 @ 2:37pm
d