mutakhir

Leka bungkus dadah

Oleh Hamzah Osman

TUJUH lelaki dipercayai ‘tokan’ dadah dicekup polis ketika baru selesai membungkus dadah di sebuah rumah di Kuarters FELCRA Kampung Kok, Langkawi.

Serbuan jam 6.30 petang Sabtu lalu dilakukan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, Balai Polis Kuala Teriang dan Padang Matsirat berdasarkan maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, ketika serbuan, tujuh lelaki berusia antara 26 dan 46 tahun sedang duduk di atas lantai menghadap antara satu sama lain.

“Pemeriksaan lanjut menemui dua paket plastik dan 27 keratan penyedut minuman berisi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 21.09 gram (g).

“Berdasarkan rekod, enam daripada suspek memiliki pelbagai rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah dan mencuri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, ujian saringan air kencing mendapati semua suspek yang juga penduduk tempatan positif dadah jenis morfin.

“Terdahulu, semua suspek yang terkejut dengan kehadiran polis cuba bertindak agresif dan melarikan diri, namun berjaya ditahan selepas rumah terbabit sudah dikepung.

“Mereka kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan,” katanya.

Disiarkan pada: August 26, 2019 @ 3:37pm
d