mutakhir

'Mahu negara kita dalam peperangan?'

Oleh Shamsul Munir Safini

“JANGAN malu dan hina tentera kita, kita setanding dan lebih hebat dari negara luar,” demikan pesanan Pemangku Pegawai Pemerintah No 18 Skuadron F/A-18D Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mejar Goh Keng Loon yang terkenal panggilan ‘Pacman’.

Menurutnya, pasukan keselamatan negara seperti TUDM misalnya mempunyai keupayaan dan kemahiran setanding negara luar, malah mampu mengadaptasi segala bentuk cabaran yang datang.

Goh yang juga juruterbang pesawat tempur F/A-18D Hornet mengakui ‘sakit telinga’ dengan cemuhan dan cacian yang dilemparkan terhadap pasukan keselamatan dan orang ramai perlu tahu keupayaan tentera negara serta patut berbangga dengannya.

“Segelintir berpendapat bahawa pasukan tentera kita hanya tahu membuat bising dengan pelbagai pameran dan ekspo yang diadakan namun tidak pernah berjuang di medan peperangan sebenar.

“Mereka tidak tahu kita bukan hanya diperlukan ketika peperangan, malah kekuatan dan keupayaan yang kita pamerkan itu menyebabkan kita digeruni,” katanya yang juga sudah 10 kali menyertai lintas hormat perbarisan sambutan Hari Kemerdekaan.

Menurutnya, dia sendiri pernah terdengar sekumpulan lelaki yang memperlekehkan pasukan TUDM ketika berada di Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA).

“Mereka berbual mengenai pasukan keselamatan negara dan mendakwa tentera di negara ini hanya tahu membuat bising dengan pertunjukan udara dan sebagainya walaupun tidak berdepan dengan situasi peperangan.

“Saya yang terdengar perbualan itu, membalas kata-kata mereka bahawa bunyi bising itu yang membuatkan kita hidup aman dan kamu mahu negara kita dalam peperangan?,” katanya.

Menurutnya, jawapan itu mendapat sokongan orang ramai yang mendengar dan kemudiannya memberikan tepukan kepadanya yang ketika itu berada di dalam sebuah kafetaria.

Katanya, sambutan Hari Kemerdekaan amat bermakna bagi dirinya dan semua individu di negara ini.

Beliau berkata, pada hari itu, mereka dapat menjadi ‘model’ dan memperagakan aset ketenteraan yang dimiliki negara selain dapat ‘cat walk’ di pentas peragaan di Putrajaya disaksikan jutaan pengunjung.

“Memang ia sesuatu yang membanggakan malah ia hari yang penuh bermakna kepada kami.

“Persiapan sudah semestinya dilakukan dengan rapi dan kami sentiasa menanamkan perasaan takut untuk melakukan lintas hormat kerana ia akan disaksikan banyak pihak,” katanya ketika ditemui di Pengkalan Udara TUDM Butterworth hari ini.

Menurutnya, perasaan takut ini penting bagi membolehkan kita melakukan sesuatu perkara itu dengan lebih berhati-hati dan fokus.

Sementara itu, bagi Mejar Muhd Faizal Ab Rahim, 35, yang menggunakan panggilan ‘Monk’ akan mengetuai penerbangan lintas hormat Skuardon 18 sempena sambutan Hari Kemerdekaan nanti.

Menurutnya, mereka akan menggunakan 4+1 pesawat F/A-18D bagi tujuan itu dan melakukan satu aksi aerobatik sejurus selepas lintas hormat.

Katanya yang sudah empat kali menyertai penerbangan lintas hormat, penerbangan sebegini begitu mengujakan dan mencabar.

“Ia sesuatu yang mengujakan kerana disaksikan jutaan manusia dan begitu mencabar kerana melihat kepada suasana di sekeliling kawasan sambutan.

“Bagi sambutan kali ini, ia akan diadakan di Putrajaya dan memerlukan koordinasi yang tepat memandangkan kawasan itu terletak berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.

Menurutnya, ruang udara lapangan terbang mempunyai jumlah trafik pesawat yang tinggi dan menyebabkan juruterbang seperti kami peka dan fokus dalam mengendalikan pesawat.

“Cuaca jerebu juga satu cabaran kerana menyukarkan pemandangan serta menetapkan titik atau ‘point’ bagi membolehkan pesawat terbang dengan susun atur yang ditetapkan, malah pesawat tidak boleh berhenti dan perlu sentiasa terbang,” katanya.

Disiarkan pada: August 26, 2019 @ 6:36pm
d