mutakhir

Tak sempat lolos diri...

Oleh Zaid Salim

PENDATANG asing tanpa izin (PATI) nekad merempuh timbunan kayu, batu-bata dan besi cerucuk bagi meloloskan diri daripada ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang melakukan serbuan kawasan pembinaan perumahan rakyat di Batu Rakit, di Kuala Nerus, hari ini.

Malah, tindakan itu menyebabkan ada antara mereka mengalami cedera ringan apabila terjatuh ketika melarikan diri sebelum menyusup dan bersembunyi dalam semak dan pantai berhampiran tapak projek.

Bagaimanapun, tindakan mereka dipatahkan JIM yang mengepung kawasan berkenaan.

Dalam serbuan 9 pagi itu, JIM menahan seramai 54 PATI hasil operasi bersepadu Op Sapu dilaksanakan membabitkan 15 pegawai dan anggota.

Pengarah JIM negeri Rahim Hanafi berkata, serbuan dilakukan hasil risikan dilakukan berhubung warga asing yang bekerja di kawasan terbabit.

Katanya, hasil serbuan pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 117 pekerja asing pelbagai negara.

“Hasil pemeriksaan kita menahan seramai 54 PATI selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan.

“Pecahan tangkapan adalah membabitkan 50 lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki warga Indonesia dan seorang warga Myanmar.

“Semua lelaki berusia 25 hingga 55 tahun terbabit dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Ajil, Kuala Berang, untuk siasatan lanjut,” katanya.

Rahim berkata, semakan lanjut mendapati seramai 21 PATI didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan dan pengenalan diri.

“Lapan suspek didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa dan seramai 21 individu lagi disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 didapati langgar syarat pas,” katanya.

Disiarkan pada: August 26, 2019 @ 8:34pm
d