mutakhir

3,000 daki lapan bukit serentak

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

BAGI menzahirkan semangat cintakan negara sempena Bulan Kemerdekaan, lebih 3,000 peminat aktiviti sukan lasak menyahut cabaran dengan melakukan pendakian serentak di lapan bukit terpilih seluruh daerah sempena Terengganu Merdeka Hike, Sabtu lalu.

Bukit terbabit adalah Bukit Keluang di Besut; Bukit Harimau Menangis di Kemaman; Bukit Besar di Kuala Terengganu; Bukit Temiang di Marang; Bukit Maras dan Bukit Jong di Kuala Nerus serta Bukit Belimbing di Hulu Terengganu.

Penyelaras Program, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, program itu dilaksanakan dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk TAC Outdoor , Hiking Maras Community, Bukit Besar Hikers, KERABAT, Geng Supik Hitam, Kaki Kabat, Ngukah Walk Fit, Bauk Hikers dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK)Kampung Temiang, Marang.

Beliau berkata, semua peserta terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan bangsa mendaki lapan puncak bukit itu secara serentak sambil membawa Jalur Gemilang.

“Walaupun program itu pertama kali dianjurkan, sambutan diterima di setiap daerah sangat menggalakkan, sekali gus membuktikan kesungguhan mereka untuk menterjemahkan semangat patriotik masing-masing.

“Rata-rata peserta tidak mengenali antara satu sama lain, malah ada yang berbeza agama dan bangsa namun mereka bersikap terbuka serta saling bekerjasama bagi menyemai keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa,” katanya.

Che Adam berkata, pihaknya berhasrat untuk meneruskan program berkenaan pada tahun hadapan dalam usaha menyemai semangat patriotik terutama kepada generasi muda.

Beliau berkata, biarpun program itu berkonsep santai dan riadah, ia mampu memberi manfaat dan kesan besar terhadap jati diri peserta untuk menjalani kehidupan sebagai rakyat Malaysia berbilang bangsa serta agama.

“Saya harap inisiatif diambil dalam menjayakan program itu bukan saja memupuk rasa sayang kepada kemerdekaan negara, malah mempromosikan aktiviti sihat dan berfaedah dalam kalangan masyarakat secara keseluruhannya.

“Sebelum ini mungkin ramai memeriahkan Bulan Kemerdekaan dengan aktiviti berkonvoi motosikal dan sebagainya, tetapi pada tahun ini kami mempromosikan aktiviti mendaki pula bagi menyatakan semangat cintakan negara dan kemerdekaan,” katanya.

Disiarkan pada: August 26, 2019 @ 9:06pm
d